Latar Belakang

Sejarah Penubuhan
line

latarbelakang

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia telah ditubuhkan pada 31 Ogos 1957, iaitu bersamaan dengan hari Kemerdekaan Tanah Melayu pada ketika itu. Pada awalnya, semasa penjajahan Inggeris, Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Tanah Bersekutu Melayu ketika itu di bawah pentadbiran Inggeris. Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah dengan sendirinya membentuk pemerintahan baru Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan berdaulat. Secara Rasmi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam telah dibentuk sebagaimana termaktub dalam Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan

Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan:- "Tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang ada dan kepada peruntukan Perlembagaan ini, maka adalah menjadi kewajipan sesuatu Suruhanjaya yang dimaksudkan oleh Bahagian ini melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, menaikkan pangkat menukar dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota-anggota bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasanya."

Buku 60 Tahun Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia 1957-2017

Fungsi

  Fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia di bawah Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan, Fungsi-Fungsi Suruhanjaya adalah meliputi perkara-perkara berikut:-

1. MELANTIK
2. MENGESAHKAN DALAM PERKHIDMATAN
3. KEMASUKAN KE DALAM JAWATAN BERPENCEN
4. MENAIKKAN PANGKAT
5. MENUKAR
6. MENJALANKAN KAWALAN TATATERTIB

  Perkara 144(1) Perlembagaan Persekutuan:- "Tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang yang ada dan kepada peruntukan Perlembagaan ini, maka adalah menjadi kewajipan sesuatu Suruhanjaya yang dimaksudkan oleh Bahagian ini melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap atau perjawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukar dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota-anggota bagi perkhidmatan-perkhidmatan yang diliputi oleh bidang kuasanya."

Tugas

  Tugas-tugas yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia adalah sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan persekutuan dan di antaranya adalah meliputi perkara-perkara berikut:-

PELANTIKAN
Suruhanjaya menguruskan pelantikan anggota Perkhidmatan Awam secara tetap, sementara, kontrak, tukar sementara dan pinjaman. Suruhanjaya berkuasa menamatkan perkhidmatan anggota Perkhidmatan Awam mengikut syarat-syarat pelantikan.

PENGESAHAN DALAM PERKHIDMATAN
Suruhanjaya berkuasa mengesahkan anggota Perkhidmatan Awam dalam perkhidmatan, melanjutkan tempoh percubaan, mengembalikan kakitangan ke jawatan asalnya atau menamatkan perkhidmatan kerana kegagalan disahkan dalam jawatan. Suruhanjaya juga memberi perwakilan kuasa kepada Kementerian, Jabatan Persekutuan dan Pentadbiran Kerajaan Negeri yang berkenaan untuk mengesahkan dalam perkhidmatan bagi jawatan-jawatan dalam Kumpulan Sokongan (Kumpulan D JKK).

PEMBERIAN TARAF BERPENCEN
Suruhanjaya menguruskan pemberian taraf berpencen kepada anggota Perkhidmatan Awam tidak termasuk anggota Kumpulan Sokongan (Kumpulan D JKK) yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang boleh diambilkira sebagai perkhidmatan berpencen untuk tempoh tidak kurang daripada 3 tahun.

PERTUKARAN PERKHIDMATAN
Suruhanjaya berkuasa menukar tetap anggota Perkhidmatan Awam dari satu skim perkhidmatan ke satu perkhidmatan yang lain, dan dari satu perkhidmatan ke perkhidmatan yang lain untuk skim perkhidmatan yang sama. Suruhanjaya juga berkuasa menukar tetap pegawai-pegawai yang dilantik secara tukar sementara dan pinjaman.

KENAIKAN PANGKAT
Suruhanjaya adalah berfungsi sebagai Lembaga Kenaikan Pangkat bagi kenaikan pangkat ke jawatan (promotion to post) pegawai-pegawai yang menjadi Ahli Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam serta kenaikan pangkat dari suatu gred ke suatu gred yang lebih tinggi (promotion to grade) bagi pegawai-pegawai di dalam Skim Perkhidmatan Bersepadu. Selain itu Suruhanjaya juga turut berfungsi sebagai Lembaga Rayuan Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam yang berkenaan.

KAWALAN TATATERTIB
Suruhanjaya adalah merupakan Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan bagi tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat ke atas pegawai-pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta sebagai Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam sebagaimana yang diperuntukkan di bawah peraturan-peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam yang berkenaan.

Visi, Misi, Motto, Objektif dan Ikrar

  VISI

Menjadi pihak berkuasa melantik yang berintegriti, dinamik dan profesional dalam urusan pelantikan dan urusan perkhidmatan penjawat awam.

  MISI

Melantik penjawat awam yang berintegriti dan kompeten melalui penilaian yang holistik dan melaksanakan urusan perkhidmatan penjawat awam secara cekap dan berkesan.

  MOTTO

Mudah, Cepat dan Tepat.

  OBJEKTIF

Memastikan fungsi melantik, mengesah, memberi taraf berpencen, menaikkan pangkat, menukar dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota-anggota Perkhidmatan Awam di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dilaksanakan dengan sempurna dan efisyen dalam tempoh yang ditetapkan.

  IKRAR

Ikrar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia
Kami, seluruh anggota Urus Setia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia berjanji akan:

Mematuhi hasrat dan cita-cita kerajaan;
Berpegang teguh kepada ajaran agama;
Berpegang kepada teras perkhidmatan cemerlang;
Komited kepada pelaksanaan program kualiti;
Melaksanakan kepimpinan melalui teladan;

Serta mengaku akan mencurahkan segala tenaga usaha kami ke arah:

Melaksanakan tugas dengan teratur, berkesan dan berkualiti;
Memberikan perkhidmatan dengan ikhlas dan cepat kepada pelanggan;
Mengamalkan sifat-sifat amanah, hormat, bertanggungjawab dan positif;
Berusaha mempertingkatkan martabat dan kecemerlangan;
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, sepanjang masa.