Temu Duga Temu Duga

Temu Duga

  1. Saya telah mendaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Bilakah saya akan dipanggil temu duga?
    Semua pemohon yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia akan dipertimbangkan panggilan temu duga sekiranya:

    1. Terdapat kekosongan jawatan yang dipohon;
    2. Memenuhi syarat skim perkhidmatan jawatan yang dipohon; dan
    3. Melepasi asas tapisan dan merit yang ditetapkan.

    Setiap pemohon boleh menyemak pendaftaran melalui pautan Semakan Status Pendaftaran di Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Semua status pendaftaran akan dikemaskini dalam tempoh masa 1 hari.

  2. Kenapa saya tidak dipanggil temu duga?
    Ada pelbagai sebab mengapa seseorang pemohon itu tidak dipanggil temu duga walaupun telah lama berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia seperti:

    1. Tiada urusan pengambilan dijalankan disebabkan tiada laporan kekosongan jawatan dikemukakan oleh Kementerian/Jabatan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia;
    2. Permohonan yang dikemukakan oleh pemohon tidak lengkap dan tidak berjaya didaftarkan dalam bank data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia;
    3. Pendaftaran pemohon telah luput tempoh sah laku pendaftaran dan pemohon tidak memperbaharuinya;
    4. Pemohon tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dalam iklan atau dalam skim perkhidmatan bagi jawatan dipohon; dan
    5. Pemohon tidak melepasi asas tapisan dan merit yang ditetapkan oleh Suruhanjaya.

  3. Apa akan berlaku jika saya tidak hadir temu duga ?
    Pemohon yang tidak menghadiri panggilan temu duga tidak akan disenaraihitamkan.

  4. Bolehkah saya menukar tarikh temu duga ?
    Boleh dengan syarat mendapat kebenaran Suruhanjaya. Permohonan pertukaran tarikh temu duga terutama yang melibatkan pusat temu duga di Sabah dan Sarawak perlu dikemukakan dengan segera dengan menyertakan nama, no. kad pengenalan, no. telefon, jawatan, tarikh temu duga asal, tarikh temu duga baru dan alasan pertukaran bagi mendapatkan kebenaran Suruhanjaya. Permohonan boleh dikemukakan secara bertulis, faks atau emel kepada:

    Urus Setia Temu Duga Bahagian Pengambilan Khas (Jawatan Bagi Kumpulan Sokongan II /Separa Perubatan):

    Puteri Baginda Siti Noor Azura binti Saharudin
    Emel : noorazura@spa.gov.my
    Tel : 03-88806244


    Urus Setia Temu Duga Bahagian Pengambilan (Jawatan Bagi Kumpulan Sokongan I /Kumpulan Pengurusan & Profesional)

    Semua Pegawai Gred 41 dan ke atas (Sila rujuk Direktori Emel/Telefon di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia)

    Tel : 03-88856354 Faks : 03-88885044

  5. Berapa lamakah masa yang diambil untuk dipanggil temu duga selepas proses pendaftaran di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia?
    Tiada tempoh yang ditetapkan bagi proses di atas kerana selepas selesai proses pendaftaran, semua data permohonan akan disimpan di dalam Bank Data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Proses tapisan hanya akan dijalankan setelah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia menerima laporan pengisian kekosongan jawatan dari Kementerian/Jabatan. Pemohon yang melepasi tapisan semasa akan dipanggil oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia bagi menghadiri ujian/ temu duga berdasarkan jawatan yang dipohon.

  6. Mengapakah saya tidak berjaya dalam temu duga ?
    Calon yang gagal temu duga disebabkan prestasi temu duga yang kurang memuaskan. Sebagai contoh, tidak membuat persediaan dari segi fizikal, tiada pengetahuan berkaitan jawatan yang ditemu duga, tidak membawa dokumen yang lengkap, personaliti yang tidak bersesuaian dan lain-lain kriteria yang diambil kira oleh panel temu duga. Semua panel temu duga yang dilantik mempunyai pengalaman serta lebih arif dalam perihal jawatan yang berkaitan bagi pemilihan calon yang bersesuaian untuk dilantik dalam perkhidmatan awam.

  7. Mengapa saya tidak tersenarai dan tidak dipanggil dalam urusan temu duga yang dijalankan?
    Antara sebab-sebab utama pemohon tidak berjaya dalam urusan panggilan temu duga yang dijalankan adalah disebabkan calon tidak melepasi asas tapisan semasa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia berdasarkan jawatan yang dipohon dan tidak berjaya dalam peperiksaan khas yang dilaksanakan bagi jawatan yang berkaitan. Contohnya bagi permohonan latihan separa perubatan yang mana pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia mengutamakan pemohon yang memiliki sekurang-kurangnya Kepujian dalam subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik bagi mendapatkan calon-calon yang bersesuaian serta berkebolehan untuk mengikuti latihan tersebut.

  8. Adakah proses untuk dipanggil temu duga dibuat berdasarkan tarikh pendaftaran seseorang calon atau dengan kata lain calon yang mendaftar lebih awal akan diberi peluang untuk ditemu duga terlebih dahulu ?
    Semua permohonan calon yang diterima sebelum tarikh tutup akan diproses. Calon-calon yang berjaya melepasi tapisan dan kriteria yang ditetapkan Suruhanjaya akan dipanggil temu duga tanpa mengambil kira tarikh pendaftaran seseorang calon itu.

  9. Saya merupakan pemegang diploma. Perlukah saya membawa diploma dan transkrip semasa menghadiri temu duga sedangkan temu duga yang saya hadiri adalah jawatan yang mensyaratkan kelulusan SPM sahaja?
    Calon perlu membawa diploma dan transkrip ketika menghadiri temu duga walaupun jawatan tersebut hanya mensyaratkan kelulusan SPM sahaja kerana berdasarkan panggilan surat temu duga, calon perlu membawa semua kelayakan akademik yang telah diperolehi oleh calon tersebut.