PUTRAJAYA, 5 Februari------ Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan telah diadakan semalam di Masjid Putra, Putrajaya. Seramai 12 ribu orang hadir yang terdiri daripada pegawai-pegawai di pelbagai Kementerian/Jabatan, Badan berkanun, Swasta dan NGO berarak bermula dari Istana Kehakiman ke Dataran Putra. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) juga telah menyertai acara perarakan yang diketuai oleh Setiausaha Bahagian Pengurusan, Encik Mohd Nazri bin Dollah. DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong telah berkenan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. ------MediaSPA
SHAH ALAM, 15 Februari------ Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mengadakan Seminar Perancangan Strategik 2011 – 2015 (Sesi 2). Seminar yang bermula Isnin lepas dan berakhir hari ini telah dihadiri oleh Setiausaha SPA, YBhg. Dato’ Lamien Sawiyo. Turut hadir Timbalan Setiausaha (Pengambilan), YBhg. Datuk Ramli Juhari dan Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan), Puan Lim Mooi Eia serta pegawai-pegawai kanan SPA. Sementara itu pada pagi ini, YBhg. Dato' Setiausaha SPA telah mempengerusikan Mesyuarat-mesyuarat Pengurusan SPA. ------MediaSPA
SPA, 18 Februari------ Timbalan Presiden Pasukan Bola Sepak SPA FC, YBhg. Datuk Ramli Juhari berkata, semua pemain bolasepak SPA mestilah berfikir secara positif, lupakan semua masalah apabila di atas padang dan memberi tumpuan kepada permainan dengan matlamat untuk menang. Beliau berkata demikian ketika memberi amanat kepada pemain-pemain Pasukan Bola Sepak SPA FC jumaat lepas. SPA FC akan bertemu pasukan MBJB dalam perlawanan bolasepak Piala FA di Stadium Mini Petronas, Bangi jam 4.15 petang esok (Sabtu). Beliau juga mengingatkan kepada pemain-pemain supaya tidak terlibat dengan rasuah. YBhg. Datuk Ramli juga memberi penghargaan kepada pasukan SPA FC kerana dengan adanya pasukan ini secara tidak langsung mempromosikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia kepada orang ramai. Beliau merujuk kepada akhbar-akhbar utama yang memaparkan jadual perlawanan antara SPA FC dengan MBJB. Sementara itu Pengurus pasukan, Encik Aidid Molana berkata, pemain-pemain mestilah memberikan komitmen dan bermain secara berpasukan. ------MediaSPA
BANGI, 19 Februari------ Pasukan SPA FC menang 3 – 0 setelah menewaskan pasukan MBJB dalam perlawanan piala FA 2012 yang berlangsung petang semalam di Stadium Mini Petronas, Bangi. Jaringan SPA FC di peroleh pada minit ke-4 melalui tendangan percuma oleh Mohd Zulkifli Affendi, di luar kotak penalti. Jaringan kedua dilakukan oleh Fadzly Iskandar melalui tandukan yang menewaskan penjaga gol MBJB pada minit ke-15. Pasukan MBJB terus dikecewakan dengan jaringan ketiga oleh Mohd Shafiq pada minit ke 25. Pasukan MBJB juga kehilangan 3 pemain kerana dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua. Sementara itu, Timbalan Presiden SPA FC, YBhg. Datuk Ramli Juhari yang menyaksikan perlawanan, mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain. Beliau yang terus memberi semangat kepada pemain-pemain dan yakin pada perlawanan seterusnya SPA FC pasti boleh memperoleh kemenangan jika prestasi dan semangat berpasukan seperti ini dapat dikekalkan. ------MediaSPA
"eRulling, Semua PSU Kemuka Cadangan" ---- Datuk Ramli Juhari
SPA, 23 Februari------ Timbalan Setiausaha (Pengambilan) YBhg. Datuk Ramli Juhari, mengarahkan semua Penolong Setiausaha (PSU) supaya melihat semula e-Rulling dan mengemukakan cadangan penambahbaikan. ”Semua PSU-PSU hendaklah melihat semula e-Rulling atau apa-apa peraturan yang difikirkan perlu diubah dan kemukakan cadangan jika difikirkan perlu dibuat penambahbaikan”. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan anjuran Bahagian Peperiksaan di Dewan Temu Duga SPA di aras 6, semalam. Turut hadir, Setiausaha SPA, YBhg. Dato’ Lamien Sawiyo, dan Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan), Puan Lim Mooi Eia. Terdahulu dari itu dalam ucapannya, beliau meminta supaya pegawai-pegawai bawahan turut melibatkan diri dalam menyumbang idea-idea supaya matlamat organisasi tercapai. Di akhir majlis, YBhg. Dato’ Lamien Sawiyo telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Bowling Tertutup SPA 2011. ------MediaSPA
PAHANG, 29 Februari------ Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) telah mengadakan Kursus Compentency Based Interview Technique (CBI), anjuran ASPA di Awana Genting Golf and Country Resort. Kursus 3 hari yang bermula Isnin lepas, telah dihadiri oleh Ahli-Ahli Suruhanjaya dan pegawai-pegawai SPA. Turut hadir Setiausaha SPA, YBhg. Dato’ Lamien Sawiyo. Mengulas mengenai kursus CBI yang berakhir hari ini, Dato’ Lamien Sawiyo berkata ”Kursus CBI ini merupakan satu usaha SPA untuk meningkatkan tahap profesionalisma Ahli-Ahli Suruhanjaya dan pegawai-pegawai SPA yang terlibat dengan urusan temu duga supaya urusan temu duga yang kita jalankan ini, lebih mantap dan lebih berkesan untuk mencari calon-calon yang terbaik memasuki perkhidmatan awam”. Mengulas mengenai temu duga yang dijalankan oleh SPA sebelum ini beliau berkata, ” di masa-masa yang lepas mungkin kita tidak menggunakan kaedah-kaedah tertentu dan menggunakan pengalaman-pengalaman yang lepas, jadi ini mungkin berbeza diantara seseorang penemu duga dengan seseorang yang lain, tapi melalui kaedah yang sama ini (CBI), kita boleh mengurangkan perbezaan yang luas diantara satu penemu duga dengan penemu duga, dan dengan ini kita akan dapat satu calon yang unggul untuk menganggotai perkhidmatan awam”. Terdahulu dari itu YBhg. Dato’ Abdul Rahman Husin, yang menjalankan fungsi Pengerusi SPA, telah menyampaikan sijil-sijil penyertaan dari Omni View Consultancy (M) Sdn. Bhd kepada peserta yang hadir. ------MediaSPA
Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 41/2013 telah membincangkan dan mempertimbangkan dua (2) kertas tindakan tatatertib, enam (6) kertas Lembaga Rayuan Tatatertib dan satu (1) kertas Lembaga Rayuan Kenaikan Pangkat. Selain itu, Suruhanjaya turut meluluskan pelantikan seramai 490 orang dan seramai 672 orang pegawai telah diberi pengesahan dalam perkhidmatan dan pemberian taraf berpencen.Manakala, 12 orang pegawai telah diberi pelanjutan tempoh percubaan dan seorang (1) pegawai telah ditamatkan perkhidmatan.
NEGERI SEMBILAN, 19 Januari------ Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah mengadakan Seminar Perancangan Strategik SPA 2011-2015 di Nilai Spring Resort Hotel, Negeri Sembilan. Seminar ini diadakan bertujuan untuk menentukan hala tuju dan perancangan jangka panjang SPA 2011-2015, membuat penambahbaikan terhadap sistem kerja sedia ada dan merancang strategi-strategi baru yang lebih dinamik. Seminar selama tiga (3) hari bermula 16 Januari 2011 lalu dan berakhir semalam telah dihadiri oleh Setiausaha SPA, YBhg. Dato’ Lamien Sawiyo, Timbalan Setiausaha (Pengambilan), YBhg. Datuk Ramli Juhari, Timbalan Setiausaha (Perkhidmatan), Puan Lim Mooi Eia dan pegawai-pegawai kanan SPA. ----MediaSPA