Sukatan / Syarat Peperiksaan

- Kaedah Penilaian Dalam Urusan Pengambilan
SPA menggunapakai kaedah penilaian yang holistik bagi tujuan menilai aspek sikap, pengetahuan, kompetensi, kemahiran serta personaliti calon-calon untuk menentukan kesesuaian individu bagi tujuan lantikan sesuatu jawatan. Di antara kaedah ujian yang digunakan adalah ujian psikometrik, ujian pengetahuan dan kemahiran kerja, ujian kompetensi serta temu duga.
- Apakah Kriteria Penilaian Dalam Ujian Psikometrik?
Bagi konsep ujian psikometrik (penilaian personaliti/kompetensi), ia direkabentuk untuk mengukur trait-trait individu berasaskan keserasian individu terhadap pekerjaan (job-fit), organisasi (organization-fit) serta sifat kerja berpasukan (team-fit).
Data-data penilaian diperolehi melalui kaedah laporan kendiri (self-report) iaitu individu perlu menjawab jujur dan memberikan jawapan yang paling tepat mengenai dirinya. Kaedah ini sama dengan proses temu duga berasaskan kompetensi, cuma yang membezakannya ialah penemuduga akan menyoal secara verbal kepada calon dengan menggunakan soalan-soalan yang piawai yang telah disediakan, manakala ujian psikometrik meminta calon sendiri menjawab secara laporan kendiri (self-report) dengan memberikan respon kepada soalan-soalan atau kenyataan yang telah disediakan secara paparan komputer.
Melalui respon atau jawapan yang telah diberikan oleh calon, sistem komputer akan memproses dan menganalisis data-data jawapan untuk dipadankan dengan kesesuaian seseorang calon dengan ciri-ciri dan kompetensi yang piawai pada sesuatu jenis jawatan.
- Adakah Ujian Psikometrik Mempunyai Status Lulus Dan Gagal?
Sama juga seperti penilaian temu duga, kejayaan atau kegagalan individu dalam ujian ini bergantung kepada kejujuran seseorang individu melaporkan tentang dirinya dalam memberikan reaksi mengenai sesuatu perkara yang ditanyakan, di mana aspek kebolehpercayaan dan kesahan maklumat yang diberikan menjadi sebahagian daripada asas penilaian dalam ujian.
Oleh kerana bilangan calon yang memohon sesuatu jawatan itu adalah besar bilangannya, penentuan calon lulus dalam urusan ujian psikometrik juga mengambil kira bilangan calon yang akan dipanggil ke peringkat temu duga iaitu berdasarkan nisbah bilangan kekosongan jawatan dengan bilangan yang ditetapkan untuk dipanggil ke peringkat temu duga, contohnya jika kekosongan ialah 20, maka bilangan calon yang berjaya dipanggil ke peringkat temu duga adalah 200 orang (1:10) iaitu yang terbaik berdasarkan merit skor semua calon yang menduduki ujian.
Berikut merupakan senarai jawatan yang mensyaratkan pemeriksaan fizikal dan pancaindera :
- Pegawai Penguatkuasa Gred KP9
- Pegawai Siasatan Gred P9
- Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred KP5
- Pembantu Penguatkuasa Gred KP1
- Pegawai Kesatria Gred S9
- Penolong Pegawai Kesatria Gred S5
- Pembantu Kesatria Gred S1
- Pegawai Keselamatan Gred KP9
- Penolong Pegawai Keselamatan Gred KP5
- Pembantu Keselamatan Gred KP1
- Penguasa Penjara Gred KA9
- Penolong Penguasa Penjara Gred KA5
- Pegawai Penjara Gred KA1
- Penguasa Bomba Gred KB9
- Penolong Penguasa Bomba Gred KB5
- Pegawai Bomba Gred KB1
- Penguasa Imigresen / Penolong Penguasa Imigresen(Skim Perkhidmatan Bersepadu)
- Pegawai Imigresen Gred KP1
- Leftenan Muda Maritim Gred T13
- Bintara Muda Maritim Gred T5
- Laskar Kelas II Maritim Gred T1
- Pegawai Pertahanan Awam Gred KP9
- Penolong Pegawai Pertahanan Awam Gred KP5
- Pembantu Pertahanan Awam Gred KP1