Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 42/2013 telah membincangkan dan mempertimbangkan enam (6) kertas tindakan tatatertib, sebelas (11) kertas Lembaga Rayuan Tatatertib. Selain itu, Suruhanjaya turut meluluskan pelantikan seramai 830 orang dan seramai 559 orang pegawai telah diberi pengesahan dalam perkhidmatan dan pemberian taraf berpencen. Manakala, 6 orang pegawai telah diberi pelanjutan tempoh percubaan dan seorang (1) pegawai telah ditamatkan perkhidmatan.
SPA, 10 Disember ------ Pengerusi S.P.A, YBhg. Tan Sri Mahmood Adam hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas S.P.A. Mesyuarat penubuhan jawatankuasa ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan operasi dan pembangunan di S.P.A. Sebanyak 22 jawatankuasa khas yang diumumkan oleh Pengerusi S.P.A akan diadakan secara mingguan dan akan dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Mahmood Adam. Antara jawatankuasa itu ialah Jawatankuasa khas Integriti, Keselamatan dan Perlindungan,KPI, Strategik Media, ICT, Transformasi, Kolaborasi, Star Rating, Interaksi Bersama Kementerian dan Jabatan, Portal/Laman Web SPA, Kemahiran Bersama Pelanggan, Urusan Pelaksanaan Temu Duga SPA, Penyelarasan Kelab Sukan SPA, Perancangan Dasar SPA, Penggubalan Soalan Peperiksaan bagi tujuan Bank Data SPA, Pengurusan Data dan Statistik SPA, Buku Laporan Tahunan SPA, Pengurusan Aduan dan One Stop Centre, Kerohanian dan Keagamaan, Pendaftaran Online dan Pengkhususan Bidang Mengikut jawatan, Sumber Manusia dan Jawatankuasa khas Audit & Akaun. ------ MediaSPA
SPA, 10 Disember ------ Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (S.P.A) hari ini telah menerima lawatan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Delegasi seramai lapan (8) orang pegawai dari LHDN itu diketuai oleh Puan Latifah Zabidi, Pengarah Bahagian Sumber Manusia. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah pengambilan secara profiling (MyRecruitment) yang dilaksanakan oleh S.P.A. Taklimat mengenai urusan pengambilan di S.P.A telah disampaikan oleh Timbalan Setiausaha (Pengambilan), Encik Zainal Abidin Ahmad. ------ MediaSPA
KUALA LUMPUR,14 Disember------ Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi telah mengadakan program bicarawara “LANDSKAP” di TV1 bertajuk “SPA:Kerjaya Pilihan Atau Terpaksa”. Program yang disiarkan secara langsung selama satu jam bermula pada jam 9.00 malam itu telah menjemput dua orang panel iaitu YB. Datuk Joseph Entulu Anak Belaun, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan YBhg. Tan Sri Mahmood Adam, Pengerusi S.P.A. Antara perkara yang dibincangkan ialah permohonan jawatan dalam perkhidmatan awam dan statistik pecahan kaum yang memohon jawatan di S.P.A. Rancangan yang dikendalikan oleh pengacara Sayed Munawar SM dan Shuhaimi Mohamed itu turut dibuka talian untuk panggilan penonton. ------ MediaSPA
Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 43/2013 telah membincangkan dan mempertimbangkan dua (2) kertas tindakan tatatertib, 12 kertas Lembaga Rayuan Tatatertib. Selain itu, Suruhanjaya turut meluluskan pelantikan seramai 2,257 orang dan seramai 866 orang pegawai telah diberi pengesahan dalam perkhidmatan dan pemberian taraf berpencen. Manakala, 8 orang pegawai telah diberi pelanjutan tempoh percubaan dan 2 pegawai telah ditamatkan perkhidmatan.